top of page

Bajau (Samma)

Badu dan Butang Betawi

​

Etnik lelaki Bajau biasanya mengenakan baju tradisional yang dipanggil badu. Badu atau baju ini biasanya dipilih kain berwarna hijau. Baju ini dihiasi dengan butang betawi dibelahan hadapannya. Butang betawi juga ada kalanya digunakan untuk hiasan lengan baju. Lengan baju dibelah hingga ke siku memperlihatkan baju bahagian dalam yang berwarna kontra. Badu tradisi ini seperti biasa dipakai pada majlis perkahwinan. Kaum lelaki Bajau juga mengenakan suar atau seluar berwarna hitam yang kebiasaannya digunakan atau dipakai semasa majlis perkahwinan, manakala pada majlis yang lain warna kontra akan digunakan. Lelaki Bajau juga memakai topi yang dipanggil tanjak yang diperbuat daripada kain dastar. Seperti wanita etnik ini, golongan lelaki juga memakai tali pinggang dipanggil ingkot pangkat. Mereka juga memakai kain selendang yang disulam sebagai hiasan.

Badu Sipak

​

Bagi wanita Bajau Kota Belud pula kebiasaanya mereka memakai baju yang dipanggil badu sipak. Baju ini diperbuat daripada kain satin yang terang, selalunya kuning. Sementara baju di bahagian dalam berwarna kontra. Lengan baju dilabuhkan dan dibelah hingga ke paras siku menampakkan lengan baju di bahagian dalam. Pada belahan baju dihiasi dengan butang betawi. Busana tradisional etnik Bajau ini juga diperindahkan lagi dengan pemakaian barang perhiasan atau aksesori. Misalnya untuk hiasan bahagian leher, terdapat aksesori yang dipanggil mandapun. Hiasan ini dibentuk seakan kalung dibuat daripada kain baldu yang dihiasi dengan perak atau emas. Kebiasaannya ia dikalungkan di leher.

Mereka juga memakai aksesori untuk bahagian kepala yang dipanggil serimpak. Perhiasan ini biasanya kelihatan seolah-olah mahkota dan diperbuat daripada logam warna perak atau emas yang dihiasi dengan manik sebagai bentuk. Serempak ini diletakkan pada bahagian rambut yang telah dibentuk menjadi sanggul dan diikat dengan tali kain bagi mengetatkan. Serimpak ini ditambah lagi dengan hiasan bergantung di tepinya yang dikenali sebagai garigai. Barang perhiasan lain yang turut dipakai wanita Bajau ini ialah gelang yang diperbuat daripada perak. Mereka juga memakai subang atau anting-anting yang diperbuat daripada emas atau perak. Selain daripada itu mereka juga memakai tali pinggang yang dipanggil ingkot pangkat dan kebiasaannya pada zaman dahulu ia diperbuat daripada logam perak.

Busana Kinabalu

seni pakaian tradisional suku kaum di sabah

bottom of page